JENAZAH Tambi Jiee iaitu adik kepada Drahman Jiee (gambar kecil) diusung Anggota Tentera sebelum berlepas ke Sarawak pada istiadat penghormatan jenazah tragedi MH17 di KLIA, Sepang pada 9 September 2014. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


“SEHINGGA kini kami masih mengharapkan individu yang melepaskan tembakan ke arah pesawat MH17 dikenalpasti dan didedahkan kepada umum,” kata Drahman Jiee, 65, waris mangsa yang terkorban dalam tragedi pesawat Penerbangan Malaysia MH17, lima tahun lalu.

Abang sulung kepada Allahyarham Tambi Jiee itu berkata, mereka sekeluarga memahami siasatan terhadap kes itu rumit dan kompleks kerana suasana politik yang berlainan di lokasi kejadian iaitu di Donestk, timur Ukraine.

Namun katanya, mereka tidak pernah jemu mengharapkan agar pendakwaan serta perbicaraan terhadap empat individu yang diumumkan oleh Pasukan Siasatan Bersama (JIT) 19 Jun lalu dilaksanakan sebaik mungkin sehingga kebenaran terbongkar.

“Kami bersyukur kepada Allah, gembira dan berterima kasih kepada JIT kerana bertungkus lumus untuk mendapatkan bukti sehingga sampai ke tahap mengenal pasti empat individu yang bertanggungjawab mendalangi serangan yang tidak berperikemanusian itu.

“Harapan kami semoga pendakwaan serta pembicaraan nanti dapat dilaksanakan sebaik mungkin hingga kita semua mendapat kebenarannya, walaupun kami faham sepenuhnya ini adalah satu penyiasatan yang kompleks berlandaskan iklim politik yang bertentangan, namun kami juga berharap penyiasatan lanjut serta pembicaraan nanti dapat mengenal pasti individu yang melepaskan tembakan dan didedahkan kepada umum,” katanya ketika dihubungi NSTP, semalam.

Drahman berkata, pemergian penuh tragis Tambi serta isterinya, Ariza Ghazalee, 47, bersama empat anak mereka - Mohd Afif, 19; Mohd Afzal, 17; Marsha Azmeena, 15; serta Mohd Afruz, 13, tidak mungkin mereka sekeluarga lupakan.

“Tambahan pula ia berlaku sekelip mata di bulan Ramadan lima tahun yang lalu. Ia takdir Allah dan satu ujian yang amat berat terhadap kami semua . Apa yang dapat kami buat ketika ini adalah sentiasa berdoa dan mengadakan majlis tahlil arwah pada masa-masa yang sesuai oleh keluarga kami dan juga keluarga arwah isteri adik kami itu.

“Alhamdulillah sejak tahun-tahun kebelakangan ini saya juga berkesempatan mengikuti bersama tahlil arwah secara berkumpulan yang diadakan di Mekah dan Madinah dalam setiap bulan Ramadan,” katanya.

Namun, Drahman sedikit terkilan apabila dalam tempoh setahun lalu, kerajaan Malaysia tidak pernah memberi apa-apa taklimat atau membentangkan pelan tindakan yang mereka ambil kepada waris MH17 .

“Kami tidak nampak tindakan dan kesungguhan kerajaan sekarang dalam membantu mencari keadilan dan membela nasib waris mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 11:10 AM