Keadaan rumah penduduk yang terjejas dalam ribut di Kampung Desa Permai, Batu Sapi. FOTO Ihsan Pembaca
Norasikin Daineh


“KAMI sekeluarga berlari ke arah rumah jiran sebaik bumbung rumah diterbangkan angin,” kata Sunarti Lolo, 39, penduduk Kampung Desa Permai, Batu Sapi, Sandakan yang terjejas dalam kejadian ribut kelmarin.

Sebanyak 21 rumah di kampung itu terjejas akibat ribut pada 7.45 malam dan ada sebahagiannya tidak dapat didiami buat sementara waktu disebabkan faktor keselamatan.

Menurut Sunarti, bimbang dengan keselamatan menyebabkan mereka sekeluarga meredah ribut untuk berlindung di rumah jirannya yang lebih kukuh.

“Ketika kejadian, angin tiba-tiba kuat disusuli hujan lebat dan menyebabkan bumbung di bahagian dapur, bilik dan ruang tamu tercabut diterbangkan angin.

“Ketika cuba menyelamatkan diri, salah seorang anak saya terjatuh di bawah jambatan dan menyebabkan perutnya luka.

“Namun kami tetap berlari menyelamatkan diri kerana keadaan ketika itu menakutkan dengan zink berterbangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sunarti berkata, disebabkan kejadian itu, rumah mereka tidak boleh didiami ketika ini kerana mengalami kerosakan teruk selain barangan di rumah juga tidak boleh digunakan.

“Buat masa ini, kami belum baiki lagi bumbung yang tercabut manakala barang di dalam rumah rosak teruk termasuk peralatan elektrik akibat terkena air hujan.

“Disebabkan itu juga, kami sekeluarga terpaksa menumpang di rumah jiran sementara menunggu rumah dibaiki,” katanya.

Penduduk lain, Gujing Gapri, 53, berkata, ketika kejadian dia baru menunaikan solat Isyak namun tiba-tiba ribut melanda rumah mereka dan menyebabkan sebahagian bumbung rumah tercabut.

“Saya terpaksa membatalkan niat untuk meneruskan solat kerana bimbang keselamatan ibu yang uzur dan isteri ketika itu.

“Kejadian ribut berlaku lebih 10 minit menyebabkan 10 bumbung zink rumah saya diterbangkan angin dan disebabkan keselamatan, kami terpaksa berlindung di tempat selamat,” katanya.

Terdahulu, difahamkan ini kali pertama berlaku ribut sehingga menjejaskan rumah penduduk di kampung berkenaan yang terletak kira-kira 300 meter dari kawasan pantai berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 11:15 AM