Garret Dawum


LIMA tahun tragedi MH17 berlaku dan hanya Masjid Al Ghazali yang terletak di Jalan Depo, Petra Jaya, Kuching menjadi tanda ingatan terhadap Allahyarham Tambi Jiee sekeluarga.

Tambi meninggal dunia bersama isteri Ariza Ghazalee dan empat anak mereka, Muhammad Afif, Muhammad Afzal, Marsha Azmeena dan Muhammad Afruz selepas pesawat Penerbangan Malaysia MH17 dinaiki ditembak jatuh di timur Ukraine.

Menurut kakak Ariza, Madzalina, 52, masjid itu yang bernilai RM3.5 juta dibangun menggunakan sebahagian wang pampasan diterima mereka atas kematian enam beranak itu.

Katanya, ia mula dibuka pada 13 Mei lalu dan kini dijadikan sebagai hab pendidikan Islam untuk penduduk setempat.


UMAT Islam menunaikan solat terawih berjemaah di Masjid Al Ghazali yang dibuka pada Mei lalu. FOTO Arkib NSTP

“Pelbagai aktiviti dijalankan sejak ia dibuka secara rasmi antaranya, ceramah agama, kelas fardu ain dan kelas mengaji al-Quran dan Alhamdulillah ia dapat diimarahkan semua lapisan masyarakat.

“Kami sekeluarga berharap masjid ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk sekitar sebagai salah sebuah lokasi untuk mempelajari agama.

“Ia satu tanda ingatan kami kepada adik (Ariza) dan keluarganya yang terkorban dalam nahas itu. Sememangnya kami merindui mereka setiap hari,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Menurut Madzalina, idea untuk membangunkan masjid itu adalah cetusan ibunya yang mahu melihat wang pampasan diterima mereka disalurkan ke arah kebaikan dan memanfaatkan arwah.

“Masjid ini sudah ada ahli jawatankuasa yang terdiri daripada ahli keluarga kami dan beberapa masyarakat sekitar.

“Ini usaha kami untuk arwah dan berharap dapat membantu mereka di alam sana,” katanya.

Dalam pada itu, dia berharap dalang yang menembak jatuh pesawat seperti diumumkan, baru-baru ini menerima hukuman setimpal dan sentiasa mengikuti perkembangan siasatan menerusi MH17 Family Care.

Berita berkaitan

Sajak buat Ali [METROTV]

Sentiasa doa berjumpa di syurga

Keadilan buat mangsa MH17 terus diperjuang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 11:45 AM
KARIAH Masjid Al Ghazali membuat persiapan untuk solat jemaah ketika hari pertama pembukaannya. FOTO Arkib NSTP.