Parlan menyimpan keratan akhbar mengenai MH17 terutama berkaitan arwah anaknya. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


“ISTERI saya, Asiah Rejikon, 61, sehingga hari ini kerap bermimpi didatangi arwah bersama wajah berseri juga kenangan memangkunya ketika kecil,” kata bapa mangsa tragedi MH17, Parlan Mesiran, 65.

Menurutnya, kehilangan anaknya, Allahyarham Hasni Hardi, 31, jurutera gas yang terkorban dalam tragedi berkenaan masih dirasai hingga kini.

“Arwah seolah-olah dapat ‘menghidu’ tragedi yang bakal menimpanya berikutan dia membeli beg baju berkualiti serta tahan hentakan dan mengatakan jika pesawat terhempas, barangannya tidak terjejas,” katanya.

Parlan berkata, dia menyimpan kisah pilu itu selama lima tahun berikutan tidak mahu keluarga terus bersedih dengan kehilangan Hasni.

“Beberapa minggu sebelum tragedi MH17, arwah memaklumkan saya dia membeli beg baju berkualiti serta tahan hentakan dan jika pesawat dinaikinya terhempas barangan tidak terjejas atau rosak.

“Kami reda walau gagal memperolehi semula pelbagai barangan peribadi milik arwah anak selepas lima tahun tragedi itu berlaku,” katanya sebak di kediamannya di Batu Anam, Segamat.


Pusara Allahyarham Hasni Hardi di Tanah Perkuburan Islam Paya Luas, Batu Anam. FOTO Ahmad Ismail

Allahyarham Hasni adalah antara 298 penumpang termasuk 15 anak kapal pesawat syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur yang ditembak jatuh di ruang udara Timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Sementara itu, Parlan berkata, seorang daripada ahli keluarganya menerima emel dari pengurusan MAS bagi mengenal pasti barangan peribadi milik arwah antaranya pakaian dan pelbagai dokumen beberapa tahun lalu namun sehingga kini tiada lagi susulan mengenai barangan itu.

“Saya dan keluarga pernah berharap pakaian terakhir arwah anak dikembalikan selepas proses mandi jenazah dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana dimaklumkan jenazah arwah antara ditemui sempurna, namun tidak mengapalah bukan rezeki kami,” katanya.

Menurutnya, arwah juga sempat pulang ke kampung sebelum ditimpa nahas itu malah sempat menyediakan pakaian hari raya buat keluarga.

“Selain itu arwah minta air tebu perahan tangannya dan isteri, bukan dibeli dari penjual air tebu kerana kami menanam tebu berskala kecil berhampiran rumah ini,” katanya.

Parlan berkata, saban tahun mereka menziarahi pusara arwah anaknya itu

Berita berkaitan

Masjid Al Ghazali tanda ingatan buat mangsa MH17

Sajak buat Ali [METROTV]

Sentiasa doa berjumpa di syurga

Keadilan buat mangsa MH17 terus diperjuang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 12:02 PM