MUHAMMAD FAKHRI ketika dibawa ke mahkamah. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


BURUH dijatuhi hukuman penjara dua bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, selepas mengaku salah menggunakan kekerasan jenayah terhadap isterinya.

Majistret Noor Mazrinie Mahmood menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fakhri Abdul Matin, 44, dari Kampung Setia Jaya, Kuala Terengganu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Rosidah Abdul @ Hamzah, 39, di sebuah rumah di Kampung Batin Seberang Takir, Kuala Nerus, 9 malam, 26 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 352A Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, tertuduh memarahi mangsa kerana tidak menggosok bajunya semasa mereka berada di rumah, jam 7.30 pagi, 26 Jun lalu.

Tertuduh mengambil telefon bimbit mangsa yang berada di dalam bilik dan wanita itu merayu meminta tertuduh memulangkan telefon bimbitnya tetapi dimaki hamun.

Dalam kejadian itu, tertuduh turut mencekik leher dan menampar pipi kanan mangsa tetapi berjaya dileraikan anak sulung mereka yang kebetulan berada di lokasi.

Tertuduh yang baru pulang dari tempat kerja kira-kira 9 malam hari yang sama sekali lagi memarahi mangsa kerana mengesyaki isterinya menceritakan hal rumah tangga mereka kepada orang lain.

Tertuduh masuk ke dalam bilik dan keluar membawa parang sebelum mengacukan senjata itu ke leher sambil mengugut mahu menetak mangsa sebelum beredar meninggalkan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 2:36 PM