MOHD ADAM. FOTO Arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply

BEKAS Pengarah Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) berdepan 50 lagi pertuduhan menipu berhubung urusan pakej umrah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Tertuduh, Mohd Adam Mohd Ghazali, 31, dari Besut, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan dalam dua prosiding berasingan.

Prosiding di hadapan Hakim Azman Mustapha dan Hakim Jamaludin Mat.

Pada prosiding pertama, lelaki itu 26 pertuduhan kononnya menaja 22 mangsa mengerjakan umrah di bawah Program Bantuan Umrah YBNT bagi sesi November/Disember 2016.

Sedangkan, program dan yayasan itu tidak wujud dan ia membabitkan kerugian lebih RM100,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa daerah di Terengganu, antara Jun hingga November 2016.

Azman membenarkan tertuduh diikat jamin RM209,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Selain itu, tertuduh turut diperintah melaporkan diri di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu dua kali sebulan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad.

Bagi prosiding kedua, Mohd Adam berdepan 24 lagi pertuduhan menipu membabitkan 17 mangsa.

Jamaludin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM240,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad dan Che Amir Che Musa.

Bagi setiap kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad dan Che Amir Che Musa.

Semalam, lelaki itu mengaku tidak bersalah terhadap 26 pertuduhan menipu dalam urusan pakej umrah sehingga menyebabkan kerugian hampir RM200,000.

Berita berkaitan

Tidak mengaku tipu pakej umrah [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 3:36 PM