FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


PASANGAN pengantin baharu yang ditahan berkhalwat ketika masih bertunang April lalu, dipenjara enam bulan selepas gagal menjelaskan denda RM2,700 yang dikenakan Mahkamah Rendah Syariah Marang, hari ini.

Difahamkan, pasangan itu dikatakan baru sahaja berkahwin awal bulan ini, lebih dua bulan selepas mereka ditahan berkhalwat.

Terdahulu, Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof menjatuhkan hukuman denda RM2,700 atau enam bulan penjara kepada pasangan itu dan mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Bagaimanapun, pasangan itu gagal membayar denda menyebabkan mereka terpaksa dipenjara.

Mengikut pertuduhan, pasangan terbabit yang masing-masing berstatus duda dan janda ketika kejadian ditangkap khalwat di sebuah bilik di chalet di Marang, 2.40 pagi pada 5 April lalu.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu.

Mengikut fakta kes, satu serbuan dijalankan anggota penguat kuasa syariah di chalet itu.

Sebaik tiba di hadapan bilik itu, pintu utamanya tertutup rapat dan berkunci daripada dalam menyebabkan anggota bertindak mengetuk sambil memberi salam beberapa kali.

Pintu dibuka dan anggota memperkenalkan diri kepada tertuduh lelaki sebelum membuat pemeriksaan dan mendapati ada wanita di atas katil.

Selain itu, ada seorang budak perempuan yang juga anak tertuduh wanita sedang tidur dan pemeriksaan lanjut mendapati dua tertuduh bukan suami isteri atau mahram.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 5:26 PM