Foto hiasan
Hidayatul Akmal Ahmad


LAPAN gerabak tren kargo dengan muatan simen tergelincir berhampiran Stesen Rawang hari ini, menyebabkan landasan tunggal di antara Rawang dan Kuang terhalang sepenuhnya.

Tren dalam perjalanan dari Tasek, Perak menuju ke Sungai Buloh itu terbalik ketika melalui landasan di KM356.016 dalam kejadian 5.38 petang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, pemandu dan pembantunya tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian terbabit.

“Lapan daripada 30 gerabak dengan muatan simen itu tergelincir, manakala 22 gerabak lagi dan lokomotif tren itu masih berada di atas landasan.

“Semua perkhidmatan tren yang melalui kawasan itu terjejas kerana insiden berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, perkhidmatan itu membabitkan kereta api elektrik (ETS), KTM Komuter dan KTM Kargo.

“Perkhidmatan tren yang melalui laluan itu masih beroperasi mengikut jadual, namun dijangka akan mengalami kelewatan sehingga 90 minit.

“Pihak KTMB sedang giat menjalankan kerja mengalih gerabak yang terbalik daripada landasan itu bagi memastikan landasan tunggal itu boleh dilalui semula oleh tren lain secepat mungkin,” katanya.

Menurut kenyataan itu, satu lagi landasan di laluan terbabit ditutup sepenuhnya bagi membolehkan projek menaik taraf sistem dan infrastruktur Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) dijalankan.

Penumpang KTM Komuter antara laluan Pelabuhan Klang dan Tanjung Malim, perkhidmatan itu akan ditamatkan di Stesen Sungai Buloh dan di Stesen Serendah.

Tiada perkhidmatan tren di antara laluan Stesen Sungai Buloh dan Stesen Serendah.

KTMB menyediakan bas perantara bagi semua penumpang yang terbabit untuk meneruskan perjalanan ke Sungai Buloh, Rawang dan Serendah dan sebaliknya.

Penumpang ETS yang menuju ke destinasi di antara kedua-dua Stesen KL Sentral dan Stesen Tanjung Malim turut disediakan bas perantara untuk meneruskan perjalanan mereka.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut di www.ktmb.com.my atau melalui Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22661200.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 10:08 PM