Anwar (kiri) dan Azmin dianggap berbeza pendapat. Foto Arkib NSTP
Izlaily Nurul Ain Hussein


‘PERBALAHAN’ antara Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali disifatkan sebagai lumrah dalam parti politik dan hanya dianggap sebagai satu perbezaan pendapat.

Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perbezaan pandangan itu turut dirasakan hanya satu situasi yang berlaku dalam mana-mana parti dan masih boleh diuruskan parti itu sendiri.

“Itu lumrah. Perbezaan pandangan terhadap sesuatu perkara itu lumrah, itu selalu berlaku dalam mana-mana parti.

“Saya anggap itu satu perkara yang parti boleh uruskan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan pemantauan di Pasar Borong Pandan di Johor Bahru, malam tadi.

Ditanya sama ada percanggahan pendapat yang berlaku antara dua pemimpin parti itu boleh melemahkan parti, beliau berkata, ukuran sama ada sesebuah parti itu lemah atau tidak diukur pada pilihan raya.

“Dalam sejarah PKR sejak 20 tahun dulu, ada pertembungan idea, percanggahan pendapat dan dalam tempoh itu kita sudah masuk tidak kurang lima kali pilihan raya.

“Saya anggap ini satu dinamik dalam parti, politik ini bukan statik, ia dinamik. Ada turun naik. Perbezaan pendapat dan ukuran parti lemah atau tidak, bila pilihan raya. Kita letakkan calon, kita berkempen waktu itu, kemudian jika rakyat tolak, itu baru menggambarkan kelemahan parti.

“Saya fikir keadaan sekarang berlaku percanggahan pendapat dan perbezaan pandangan tentang satu perkara saja,” katanya.

Pada masa sama, beliau percaya PKR mempunyai platform sendiri untuk mengawal situasi berkenaan.

“Kita ada Biro Politik, kita ada Majlis Pimpinan Pusat dan percaya perkara ini dalam kawalan untuk kita uruskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 2:03 AM