TERTUDUH dibenar diikat jamin RM2,000 seorang. FOTO Ihsan PDRM.
Raja Noraina Raja Rahim


LIMA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Seremban, hari ini, atas tuduhan menghalang tugas anggota polis ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, April lalu.

Tertuduh S Vigane Swaren, 52; S Mangaswaran, 37; S Sivakumar, 37; M Arun, 25, dan A Yeohvan Louis, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret V Vanita.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja menghalang tugas Sarjan Yusof Md Medak daripada menjalankan fungsi jawatannya dengan membuat pemeriksaan pada bonet kenderaan peronda polis (MPV) di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Chung Hua Rantau pada 6 petang, 13 April 2019.

Untuk itu mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua bulan, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hazeelia Muhammad manakala, Vigane Swaren, Mangaswaran dan Sivakumar diwakili peguam Haresh Mahadevan, sementara Arun dan Yeohvan Louis diwakili V K Indran.

Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM2,000 seorang dan menetapkan 31 Julai untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 12:04 PM