SULTAN Ibrahim Iskandar. FOTO ihsan Royal Press Johor


RAKYAT Johor berpeluang menyalurkan maklumat dan keluhan kepada Sultan Johor apabila Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mencemar duli untuk bertemu rakyat pada jelajah Kembara Mahkota Johor 2019 (KMJ 2019) bermula Sabtu ini.

Sultan Ibrahim bertitah, jarak perjalanan hampir 700 kilometer pada jelajah KMJ 2019 tidak akan menghalangnya bertemu rakyat di pelbagai kawasan serta mendengar keluhan mereka.

Baginda bertitah, walaupun cuaca hujan atau panas, perjalanan akan tetap diteruskan merentasi 10 daerah.

“Saya tidak sabar untuk menemui rakyat dan jika mereka ada apa-apa keluhan untuk disampaikan, saya sedia mendengar.

“Jika mereka ingin menyampaikan keluhan masing-masing menerusi surat, boleh serahkan surat kepada pegawai atau juruiring saya,” titahnya kepada Royal Press Office (RPO) di Istana Pasir Pelangi, di Johor Bahru, semalam.

Temuramah eksklusif itu dimuat naik dalam laman facebook rasmi Sultan Ibrahim.

Pada jelajah KMJ 2019, Sultan Ibrahim akan menunggang motosikal berkuasa tinggi, Harley-Davidson 2019 Road King Special Touring Bike.

Sultan Johor bertitah, baginda akan membaca sendiri setiap surat yang disampaikan rakyat kerana ingin mengetahui apakah keluhan mereka.

Titahnya, sudah bersedia untuk menjayakan jelajah KMJ 2019 selain memastikan motosikal dalam keadaan baik.

Pada masa sama, baginda mengingatkan orang ramai supaya tidak berkecil hati sekiranya tidak dapat berswafoto bersamanya kerana baginda perlu bergerak mengikut jadual untuk tidak menghampakan rakyat di lokasi seterusnya.

“Orang ramai jangan kecil hati jika tidak dapat berswafoto (selfie) bersama saya di setiap lokasi persinggahan. Ini kemungkinan disebabkan pergerakan awal bagi meneruskan perjalanan ke lokasi lain,” titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 2:28 PM