POLIS menahan lelaki Indonesia yang cuba menyeludup keluar gas LPG melalui Kompleks ICQS Tebedu, Serian. FOTO Ihsan PGA


BUKAN saja ditahan kerana menyimpan beberapa tong gas cecair petroleum (LPG) secara haram, seorang lelaki juga bakal berdepan hukuman mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 kerana cuba menyogok pasukan keselamatan.

Dalam kejadian di Tebedu, Serian 12.45 tengah hari semalam, lelaki berusia 31 tahun itu cuba memberi suapan RM4,000 kepada sepasukan anggota Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak yang menahannya.

Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Sarawak, Superintendan Rosdi Inai berkata, ketika pemeriksaan di premis milik lelaki itu, pihaknya menjumpai sejumlah tong LPG yang disimpan dan dipercayai tiada kelulusan dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Pemilik premis itu juga gagal mengemukakan dokumen yang sah berhubung penyimpanan barang kawalan terbabit dan gagal menyelenggara buku stok penjualan LPG yang dipercayai untuk diseludup ke Kalimantan, Indonesia.

“Serbuan terhadap premis itu dijalankan susulan tangkapan seorang lelaki warga Indonesia yang cuba menyeludup keluar 62 tong LPG dan 306 kilogram minyak masak melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu, Serian 10 pagi pada hari sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, rampasan yang dilakukan terhadap lelaki Indonesia dianggarkan bernilai RM80,000, termasuk sebuah van jenis Kia Pregio.

“Serbuan turut disertai tiga pegawai SPRM dan lapan pegawai KPDNHEP.

“Kes juga diserahkan kepada KPDNHEP untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Dalam tangkapan berasingan, Rosdi berkata, dua lelaki warga Indonesia ditahan ketika cuba memasuki ICQS Tebedu tanpa memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Beliau berkata, kedua-dua suspek itu berusia 34 dan 42 tahun dan ketika ditahan 2.45 petang semalam, mereka sedang menaiki sebuah kereta Proton Waja.

“Kedua-duanya sudah diserahkan kepada Balai Polis Tebedu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 3:37 PM