NORAINI (menutup muka) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Raja Noraina Raja Rahim


PEMILIK butik mengaku tidak bersalah atas 17 pertuduhan menipu pakej umrah dan menyalahgunakan wang bayaran pakej itu membabitkan kerugian RM393,000 di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini.

Tertuduh, Noraini Abu Bakar, 33, membuat pengakuan itu sebaik semua kertas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa.

Mengikut 11 pertuduhan, tertuduh didakwa menipu dengan menawarkan pakej umrah pada harga RM1,500 seorang membabitkan jumlah keseluruhan RM393,000.

Perbuatan itu dilakukan di Kampung Baru Sungai Mahang, Nilai, dari Mac sehingga Disember 2018.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi enam pertuduhan lain, tertuduh didakwa menyalahgunakan wang bayaran pakej penerbangan umrah yang mana ia bukan hak miliknya di lokasi dan tempoh yang sama.

Oleh itu, tertuduh boleh dipenjara antara enam bulan sehingga lima tahun atau sebat dan denda, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hazeelia Muhammad.

Peguam, Akmal Jusoh yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin yang rendah dengan alasan tertuduh mempunyai pertuduhan di Mahkamah Majistret Temerloh, Pahang dan Mahkamah Majistret Shah Alam.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM52,500 bagi semua pertuduhan itu dengan syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Shah Alam pada 15 hari bulan setiap bulan, selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 3:55 PM