ANGGOTA bomba ketika menjalankan kerja pembersihan dan menyahkan racun dari badan mangsa. FOTO Mohd Khidir Zakaria


SERAMAI 24 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Linggi yang mengalami keracunan selepas terhidu racun serangga pagi hari ini dirujuk ke Klinik Kesihatan Linggi dan Hospital Port Dickson (HPD) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, 12 daripada mereka dibawa ke Klinik Kesihatan Linggi dan bakinya dirujuk ke HPD.

Beliau berkata, lima daripada murid berkenaan kini menerima rawatan di Jabatan Kecemasan HPD, namun tiada mangsa yang serius.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada aktiviti semburan racun serangga di ladang cili yang berada sejauh 500 meter dari sekolah berkenaan.

“Pekerja ladang menyembur racun dari 8.40 pagi hingga 9.40 pagi. Bahan jenis Malathion 57 itu dibawa angin sebelum dihidu murid yang kemudiannya mengalami muntah dan loya, kira-kira 10 pagi.

“Sehingga kini tiada kehilangan jiwa dilaporkan. Tiada mangsa lain yang terjejas selain 24 murid yang dirujuk ke Klinik Kesihatan dan HPD.

“Pekerja ladang, guru sekolah, kakitangan sekolah dan pekerja pembersihan sekolah juga tidak mengalami simptom sama,” katanya ketika ditemui sejurus melawat mangsa di HPD, Port Dickson, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak HPD yang bertindak pantas menguruskan insiden berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Veerapan menasihatkan pihak sekolah supaya menutup sesi persekolahan esok bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku sehingga jabatan yang terbabit mengesahkan sekolah berkenaan selamat.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dengan kejadian itu dan pihaknya sudah mengarahkan pihak ladang menghentikan operasi penyemburan racun selain meminta jabatan yang terbabit untuk memantau kegiatan ladang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 6:12 PM