Gerabak kargo yang tergelincir di Kilometer 356.016 berhampiran Rawang, semalam. Foto Ihsan KTMB
Mohd Hilmie Hussin


KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjangkakan tiga stesen bagi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Komuter di laluan Sungai Buloh hingga ke Tanjung Malim dapat beroperasi semula pada Isnin ini.

Tiga stesen membabitkan perkhidmatan ETS dan KTM Komuter di Kuang, Rawang serta Serendah terpaksa ditutup sejak petang semalam kerana berlakunya kemalangan membabitkan lapan gerabak kargo muatan simen tergelincir di Kilometer 356.016 berhampiran Rawang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Rani Hisham Samsudin berkata, landasan tunggal yang terbabit kemalangan ditutup selama beberapa hari untuk kerja baik pulih yang disasarkan akan siap pada Ahad ini.

“Sejak semalam, kerja mengalihkan gerabak tergelincir dari landasan sudah dilakukan.

“Siasatan menyeluruh akan dibuat membabitkan aspek kesilapan teknikal dan kecuaian manusia,” katanya ketika sidang media di Stesen KTM Sungai Buloh, hari ini.

Beliau berkata, operasi semua tren membabitkan laluan Pelabuhan Klang ke Tanjung Malim beroperasi seperti biasa tetapi pihaknya menyediakan bas serta van sebagai pengangkutan menyambung perjalanan pelanggan antara stesen yang ditutup.

Menurutnya, kira-kira 30 bas dan van perantara untuk membawa penumpang dari stesen yang ditutup ke stesen seterusnya, turut disediakan secara percuma termasuk membawa penumpang ETS dari Tanjung Malim ke KL Sentral dan sebaliknya.

“Kami bersedia memulangkan wang penumpang ETS sekiranya mahu membatalkan perjalanan sepanjang tempoh baik pulih landasan dilakukan,” katanya.

Semalam dilaporkan, lapan daripada 30 gerabak kargo muatan simen dari Tasek, Perak ke Sungai Buloh tergelincir dari landasan sepanjang kira-kira 300 meter berhampiran Stesen ETS dan Komuter Rawang dala kejadian 5.38 petang.

Insiden itu menyebabkan penumpang komuter laluan Pelabuhan Klang dan Tanjung Malim dihentikan di Stesen Sungai Buloh dan Serendah, manakala pengguna ETS antara KL Sentral dan Tanjung Malim disediakan bas perantara bagi menghubungkan kedua-dua stesen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 7:06 PM