SITI Razmah (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Menachi. FOTO Syakirah Azhar
Mahaizura Abd Malik


TERHARU tidak diabaikan biarpun berbeza pegangan agama membuatkan K Menachi, 67, menitiskan air mata ketika menerima sumbangan barangan keperluan asas.

Wanita warga emas itu antara penduduk sekitar Taman Sri Sentosa Kuala Lumpur yang menerima bantuan menerusi program Dakwah Elit: Jelajah Rahmah Asnaf 2019 anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jawatankuasa Masjid Al-Imam At-Tirmizi, hari ini.

Menachi yang kurang sihat selepas sebulan terjatuh di rumahnya menerima kunjungan istimewa Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI Siti Razmah Idris yang menyampaikan sumbangan.

Menachi berkata, dia menetap di rumah itu sendirian selepas suami dan seorang daripada dua anaknya meninggal dunia beberapa tahun lalu.

"Saya ucap terima kasih kepada pihak masjid dan JAWI kerana sudi menjenguk dan tetap peduli dengan saya.

"Saya tinggal seorang diri kerana suami dan seorang anak sudah pergi (meninggal dunia).

"Saya sunyi... cuma sesekali cucu dan seorang lagi anak datang sini menemani dan menghantar saya ke klinik," katanya yang menerima bantuan bulanan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Siti Razmah berkata, program berkenaan menggunakan konsep Food Bank dengan fokus menjadikan masjid bukan saja sebagai tempat beribadah malah meluaskan fungsinya sebagai pusat komuniti khusus menyantuni masyarakat asnaf.

"Menggunakan pendekatan Rahmah, program ini bukan saja untuk Muslim tetapi turut menyantuni semua kaum memerlukan.

"Asalnya, Food Bank ini diwujudkan di Masjid Jamek dan ibu pejabat JAWI untuk mengelakkan pembaziran makanan, tetapi dikembangkan ke masjid menggunakan konsep Gerobok Rezeki untuk makanan kering.

"Sejak Food Bank dilancarkan Mac lalu, kita sebagai orang tengah penyumbang sudah menyantuni hampir 4,000 golongan asnaf," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 7:35 PM