Mohamad memakaikan PJM pada veteran ATM ketika majlis penganugerahan kepada veteran ATM Melaka/Negeri Sembilan di MITC, Melaka. Foto Khairunisah Lokman
Nur Saliawati Salberi


KEMENTERIAN Pertahanan kini menunggu kelulusan cadangan Memorandum Elaun Kenangan kepada kira-kira 70,000 penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) daripada Kementerian Kewangan (MOF).

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata, cadangan sudah dihantar kepada MOF, bagaimanapun ia bergantung kepada Bajet 2020 yang akan dibentangkan pada Oktober nanti.

Menurutnya, pihaknya juga sudah menghantar memorandum cadangan itu kepada Majlis Jemaah Menteri untuk dibentangkan dalam masa terdekat.

“Kita sudah buat cadangan itu tetapi tidak boleh umumkan berapa jumlahnya kerana belum tentu dapat sepenuhnya.

“Kita akan lihat pada bajet kewangan pada Oktober sama ada lulus atau tidak. Kita berharap mereka diberi sedikit imbuhan untuk meneruskan kehidupan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis penganugerahan PJM kepada 507 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Peringkat Melaka/Negeri Sembilan di Ayer Keroh, hari ini.

Mohamad berkata, beliau amat berharap cadangan itu akan diluluskan seterusnya dapat dilaksanakan pada tahun hadapan.

Menurutnya, seramai 27,109 Bantuan Harapan Negara (BHN) untuk fasa pertama membabitkan jumlah keseluruhan RM47.5 juta sudah diagihkan kepada veteran, manakala bakinya akan dibayar secara berperingkat selewat-lewatnya pada Oktober.

Mengulas mengenai Tabung Pahlawan Negara yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi, beliau minta semua pihak terutamanya sektor korporat, kementerian, agensi kerajaan untuk menyumbang.

“Tabung ini sebagai tanda penghargaan kepada kerja kuat dan pengorbanan mereka dalam menjaga keamanan negara sehingga aktiviti ekonomi berjalan lancar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Kebangsaan yang sepatutnya disambut pada 31 Julai ini akan ditunda pada 18, 19 dan 20 September bagi memberi laluan kepada Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2019 @ 8:39 PM