MASALAH ‘terusan sampah’ di Taman Pelangi menghantui lebih 500 penduduk.
Mohd Rizal Abdullah


ALOR SETAR: Masalah ‘terusan sampah’ di Taman Pelangi di sini, menghantui lebih 500 penduduk sekitar sejak sekian lama selesai selepas kerja pembersihan terusan yang dilakukan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), kelmarin.

Kontraktor dilantik MBAS mengumpul 30 tan sampah yang menutupi keseluruhan terusan sepanjang lebih 100 meter sebelum ditanam di kawasan berhampiran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Darulaman, Teh Swee Leong berkata, kerja pembersihan dilakukan selepas mendapati terusan itu dalam keadaan sangat kotor dan berbau.

“Sebelum ini timbul kekeliruan membabitkan bidang kuasa dan tanggungjawab beberapa agensi dalam menyelesaikan perkara itu.

“Berikutan itu saya bawa masalah ini ke pengetahuan Exco dan hasil mesyuarat, MBAS diminta membersihkan terusan sebelum diserahkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah,” katanya.

Teh berkata, kerja membersihkan terusan berkenaan membabitkan kos keseluruhan dianggarkan berjumlah RM20,000.

“Pihak kontraktor dilantik mengambil masa 10 hari untuk mengorek terusan dan menanam sampah tersangkut.

“Orang ramai diminta lebih bertanggungjawab dengan tidak membuang sisa sampah ke terusan ini untuk kebaikan bersama,” katanya.


KERJA pembersihan dilakukan selepas aduan dilakukan kepada pihak berwajib.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 5:40 AM