MOHD Azis.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima 111,142 permohonan kewarganegaraan dari 2013 hingga 2018.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 26,222 permohonan ditolak dan 6,371 lagi dibatalkan.

Beliau berkata, baki sebanyak 54,222 permohonan masih dalam proses sementara 24,327 permohonan lagi sudah diluluskan.

“Kementerian sedang muktamadkan kemas kini prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan peruntukan perundangan yang berkuat kuasa dengan mengambil kira pelbagai aspek iaitu kebajikan pemohon tanpa mengabaikan keselamatan dan warganegara sedia ada.

“Ia adalah inisiatif bagi menambah baik dalam proses penganugerahan kewarganegaraan,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Mohd Azis menjawab soalan Steven Choong ( PH-Tebrau) mengenai jumlah permohonan kewarganegaraan yang diterima, ditolak atau ditunda selain inisiatif untuk menyelesaikannya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai mekanisma untuk menilai tahap penguasaan bahasa pemohon, Mohd Azis berkata, ada ujian yang perlu diambil.

“Asas penguasaan Bahasa Melayu itu perlu, namun ada perkara lain yang kementerian akan ambil kira dan beri kelonggaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 5:45 AM