Balat kini menjadi sasaran nelayan Vietnam. FOTO Malai Rosmah Tuah
Norasikin Daineh


BALAT (gamat) dikenal pasti menjadi sasaran baharu nelayan Vietnam yang kini giat menjarah hasil laut perairan negara terutamanya di Kudat.

Tangkapan dilakukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah sejak kebelakangan ini membabitkan balat dilihat semakin membimbangkan kerana ia turut merosakkan ekosistem laut.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Sabah, Kapten Maritim Asmawati Mohd Tujeri berkata, pihaknya menyedari isu membabitkan tangkapan balat oleh nelayan Vietnam adalah yang terbaharu dikenal pasti berlaku di perairan Sabah.

“Kita dapati, bot nelayan asing ini bukan saja mengambil sumber laut ikan tetapi mereka buat yang baharu pula iaitu menangkap balat.

“Ia serius kerana alat digunakan untuk menangkap balat adalah besi yang mereka tarik sehingga sampai ke dasar laut dan menyebabkan banyak kerosakan pada ekosistem terutamanya terumbu karang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Kejohanan Menembak dan Hari Apresiasi Media Maritim Sabah dan Labuan di Padang Sasar, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar semalam.

Katanya aktiviti nelayan asing itu membawa kemusnahan yang sukar dibaiki kerana terumbu karang mengambil masa panjang untuk wujud di dasar laut.

“Jika aktiviti ini tidak dicegah, ia merosakkan terumbu karang kerana ia bukan wujud dalam tempoh setahun tetapi kita kena tunggu, mungkin sehingga generasi selepas itu untuk ia wujud,” katanya.

Sehubungan itu, tindakan undang-undang harus diambil bagi nelayan Vietnam yang didapati menangkap balat menggunakan alat yang boleh merosakkan ekosistem laut dan setakat ini semuanya sudah didakwa di mahkamah.

Terdahulu, enam kes berjaya dihasilkan APMM Sabah membabitkan nelayan Vietnam yang didapati menangkap balat dari Januari hingga awal Julai lalu.

Tangkapan itu membabitkan lebih 40 nelayan asing warga Vietnam dan kebanyakan tangkapan dilakukan di perairan Kudat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 8:55 AM