FOTO tular guru dan murid berusaha mendapatkan bekalan air. FOTO Ihsan Pembaca
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


JABATAN Pendidikan Pahang mengesahkan pam air rosak menjadi penyebab tindakan sekumpulan guru dan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Betau, Lipis, mengambil inisiatif mendapatkan bekalan air untuk kegunaan mereka sebelum insiden itu tular di media sosial.

Pengarahnya, Datuk Dr Tajuddin Mohd Yunus berkata, laporan diterimanya mendapati terdapat projek pembangunan sedang dijalankan di kawasan berhampiran sekolah itu yang turut menggunakan pam air sama.

“Bila pam air itu berkongsi dengan pemaju projek dan digunakan dalam intensiti tinggi maka berlaku masalah teknikal dan ia gagal berfungsi dengan baik.

“Kita sudah berbincang dengan kontraktor dan mereka maklum akan membaikinya dalam minggu ini.

“Kita juga minta pam air di kawasan itu dapat ditambah menjadi dua,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam tular beberapa gambar memaparkan guru dan murid SK Betau bertungkus lumus membaiki pam air untuk digunakan di sekolah mereka.

Aktiviti itu mendapat perhatian masyarakat yang mahukan Kementerian Pendidikan campur tangan dan mengambil tindakan segera menyelesaikan kemelut yang melanda.

Sementara itu, Tajuddin berkata, pihaknya mempunyai peruntukan untuk membaiki pam air itu jika kontraktor gagal memenuhi janji mereka.

Katanya, dakwaan beberapa pihak kononnya sekolah itu sudah lama tidak mempunyai bekalan air bersih adalah tidak tepat dan tidak berasas sama sekali.

“Apa yang dikatakan mereka (warga net) mengenai masalah air di sekolah itu tidak tepat. Cikgu dan murid di sekolah itu ambil inisiatif untuk tambah bekalan air di sekolah mereka,” katanya.

Tajuddin berkata, pihaknya akan mendapatkan perkembangan dari semasa ke semasa bagi memastikan pam air yang rosak itu dapat dibaik pulih dalam tempoh ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 10:13 AM