Antara yang ditahan ketika berjudi semalam. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


RAHSIA sekumpulan tahi judi yang menjadikan kawasan tepi laut sebagai tempat melepaskan gian bertaruh nasib terbongkar apabila diserbu polis di Tanjung Bungah, Georgetown malam tadi.

Dalam Op Dadu diketuai Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Deputi Superintendan Akmal Yahaya itu, 23 individu ditahan ketika leka berjudi.

Dalam serbuan 9 malam itu, seorang daripada mereka iaitu lelaki berusia 30-an terseliuh bahu apabila terjatuh ketika cuba melarikan diri.

Golongan kaki judi itu dikesan mendirikan khemah di lokasi tersembunyi daripada pandangan orang ramai sebelum berpindah selepas tiga hari menjalankan aktiviti terbabit.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan bagi mengelak aktiviti mereka daripada dihidu polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zainol Samah berkata, pihaknya melakukan serbuan terbabit selepas mendapat maklumat dan juga hasil risikan.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan 21 lelaki dan 2 wanita berusia 20 hingga 70-an.

“Kita merampas wang tunai RM65,677 dan percaya ini adalah antara rampasan terbesar membabitkan aktiviti judi di kawasan terbuka untuk tahun ini.

“Selain itu, kita turut merampas peralatan yang digunakan seperti pelbagai cip, kerusi, bakul, mesin kira-kira dan lain-lain lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 10:27 AM