Skip this ad x
Wanita Orang Asli Kampung Kuala Koh mencuci pinggan menggunakan tadahan air hujan kerana bimbang menggunakan air sungai dan tadahan air bukit yang kotor. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


SEMUA 163 penduduk Orang Asli suku Batek yang dikuarantin di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Etnobotani, Gua Musang, susulan jangkitan demam campak bakal dibenarkan pulang Ahad ini.

Ini berdasarkan laporan rekod kesihatan mereka mendapati taraf kesihatan bertambah baik dan bebas daripada jangkitan demam campak dihadapi selepas menerima rawatan sejak awal bulan lalu.

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu, Hashim Alang Abdul Hamid berkata, sebelum ini mereka menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM) dan Hospital Kuala Krai (HKK) sebelum dikuarantin di PPS itu sejak bulan lalu.

Beliau berkata, mereka tidak dibenarkan pulang awal ke rumah di Kuala Koh kerana bimbang wabak itu boleh dijangkiti semula.

“Orang Asli yang dikuarantin tidak berdepan sebarang masalah kerana mereka dijaga dengan baik dan diberi pemeriksaan kesihatan sepanjang masa.

“Insya-Allah mungkin Ahad ini mereka dibenarkan pulang ke rumah dan kita (JAKOA) akan sediakan kenderaan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sejak awal Mei lalu, seramai 15 Orang Asli suku Batek Kuala Koh meninggal dunia akibat jangkitan demam campak manakala 112 lagi menerima rawatan di hospital berhampiran.

Berikutan penularan penyakit itu, kampung terbabit diletakkan dalam kawasan zon merah sebelum dibebas semula pada 8 Julai lalu, di samping kaum itu yang keluar hospital terpaksa dikuarantin di PPS Etnobotani Gua Musang.

Hashim berkata, apabila dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, mereka dapat memulakan kehidupan baharu dengan suasana kampung lebih bersih.

“Gotong-royong Perdana juga sudah diadakan di Kuala Koh, semalam, sekali gus memberi keselesaan kepada mereka tanpa ada lagi jangkitan penyakit berjangkit,” katanya.

Berita berkaitan

Potong air tadahan bukit

Tiada kes kematian baharu

Penduduk Orang Asli diberi vaksin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 3:17 PM