Siti Nur Fatihah memeriksa nombor siri bagasi jemaah haji di Kompleks Tabung Haji, Sepang. FOTO Mohamad Hussin
Mohamad Hussin


“PENGALAMAN sebagai sukarelawan sukar dilupakan kerana ia banyak mengajar saya erti kesabaran dan kehidupan.

“Saya minta jemaah mendoakan saya semoga dapat ke Tanah Suci satu hari nanti,” kata Siti Nur Fatihah Elias, 22, penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Siti Nur Fatihah antara 838 petugas Operasi Haji Tanah Air (OHTA) yang membantu melancarkan proses di Stesen Sepang.

Penuntut Sarjana Komunikasi itu berkata, dia teruja selepas terpilih menjadi sukarelawan menguruskan jemaah Musim Haji 1440H/2019M.

“Saya ada nampak maklumat dalam kumpulan WhatsApp fakulti yang memerlukan sukarelawan jemaah haji.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus memohon untuk menjadi salah seorang sukarelawan itu.

“Alhamdulillah, selepas beberapa tapisan dilakukan saya terpilih,” katanya ditemui di Kompleks Tabung Haji, Sepang hari ini.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu berkata, peluang keemasan itu hanya datang sekali seumur hidup dan belum tentu terpilih jika dia sudah menamatkan pengajian.

“Saya tidak kekok untuk bangun seawal 3 pagi kerana perlu bersiap ke kompleks berkenaan.

“Bas menjemput kami pada 4 pagi daripada tempat penginapan kami di Nilai.

“Sukarelawan USIM dibahagi kepada tiga kumpulan bagi melancarkan proses iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Stesen Sepang,” katanya.

Menurutnya, skop kerja yang dilakukan seperti menyusun atur bagasi jemaah, periksa nombor siri bagasi, nama jemaah, buku rekod kesihatan dan memastikan jemaah membawa pasport.

Sementara itu, Pengarah Operasi Stesen Sepang, Khairoddin Ahmad berkata, OHTA membabitkan petugas TH, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Penerbangan Malaysia (MAS), Kementerian Kesihatan serta pelbagai agensi lain.

“Semua bakal haji perlu berada di stesen berlepas selewat-lewatnya empat jam sebelum masa lapor diri.

“Mereka dinasihatkan membawa buku rekod rawatan kesihatan dan surat jadual penerbangan haji ketika melapor diri,” katanya.

Katanya, Stesen Operasi Sepang turut menyediakan kemudahan kaunter TH, Bank Islam, bayaran dam, qurban dan perkhidmatan guru agama (PEKTA).

Sebarang pertanyaan, bakal jemaah dan waris boleh menghubungi Pusat Panggilan TH di talian 03-62071919.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 3:56 PM