LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Amirul Aiman Hamsuddin


PERMOHONAN maaf dituntut pelakon dan penerbit, Datuk Seri Eizlan Yusof kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dirujuk kepada pihak atasan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Deputi Superintendan Lim Chee Khoon ketika dihubungi enggan mengulas lanjut dan menyatakan pihaknya sudah merujuk kepada pihak atasan berkenaan isu terbabit.

Semalam, Chee Khoon mengesahkan anak Eizlan, Zareef Idris Yusof, 9, terbabit dengan kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, pada 11 Julai lalu.

Katanya, kekeliruan berlaku ketika polis memberikan hasil siasatan awal kepada media mengenai kejadian terbabit tanpa meletakkan nama Zareef.

“Waktu itu, polis masih dalam proses mengambil keterangan daripada mangsa dan juga saksi kemalangan.

“Namun, selepas siasatan lengkap, polis mendapati mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam yang kemudiannya dikenal pasti sebagai anak pelakon terbabit,” katanya.

Terdahulu, Eizlan menuntut permohonan maaf membersihkan nama Zareef berikutan kenyataan pihak polis yang menafikan anaknya terbabit dalam kemalangan berkenaan.

Tempoh permohonan maaf itu diberikan sehingga hujung bulan ini dan jika tiada sebarang maklum balas pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang.

Dalam pada itu, Chee Khoon berkata, polis sentiasa menjalankan setiap siasatan secara teliti dan telus mengikut prosedur siasatan yang telah ditetapkan.

“Sehubungan itu kertas siasatan sedang disiapkan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya dalam masa terdekat,” katanya.

Berita berkaitan

Eizlan tetap mahu polis minta maaf

Polis sahkan anak Eizlan terbabit kemalangan

'Eizlan Yusof minta polis mohon maaf'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 4:59 PM