APMM Kelantan berjaya menahan dua bot dan 25 nelayan Vietnam yang menceroboh berhampiran muara Tok Bali dalam Op Naga Barat. FOTO IHSAN APMM
Muhamaad Razis Ismail


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan dua bot dan 25 nelayan Vietnam yang menceroboh perairan negara berhampiran muara Tok Bali, Pasir Puteh, dalam Op Naga Barat, dua hari lalu.

Pemangku Pengarah APMM Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, dua bot itu ditahan pada jarak 97 dan 100 batu nautika dari muara Tok Bali pada jam 6.52 pagi dan 8.48 pagi oleh kapal KM Jujur.

“Pemeriksaan mendapati, terdapat 23 awak-awak dan dua tekong warga Vietnam berusia lingkungan 23 hingga 45 tahun.

“Pemeriksaan menemui ikan seberat 500 kilogram (kg) dan sotong kering seberat 30 kg,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, KM Jujur menghadapi kesukaran menunda salah sebuah bot ditahan selepas mengalami kerosakan pada sistem jana kuasa menyebabkan enjin tidak dapat beroperasi.

“Bot nelayan itu mengalami kebocoran dan kerosakan pada sistem jana kuasa menyebabkan kebanjiran sukar dikawal.

“Kesukaran ditambah apabila cuaca berada pada kategori amaran pertama dengan ombak setinggi tiga hingga lima meter manakala tiupan angin pada kelajuan sehingga 50 kilometer sejam,” katanya.

Menurutnya, KM Jujur terpaksa membiarkan bot tahanan mengalami kebanjiran tenggelam atas faktor keselamatan, namun semua nelayan dan tekong ditahan.

“Sebuah lagi bot dan 25 nelayan warga Vietnam dibawa ke Jeti Maritim Kelantan untuk siasatan lanjut.

“Keseluruhan nilai bot termasuk peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan dianggarkan bernilai RM85,000,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.

“Penahanan ini menjadikan statistik tangkapan bagi APMM Kelantan kepada 15 tangkapan membabitkan 10 kes tangkapan bot nelayan asing, tiga tangkapan bot nelayan tempatan dan dua kes membabitkan penyeludupan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 5:27 PM