ISMAIL (empat dari kiri) menerima Sijil MBOR Kejuaraan Liga Super Malaysia kali keenam berturut-turut Kelab Bola Sepak JDT daripada Christopher (empat dari kanan) Dataran Bandaraya MBJB. FOTO MOHD AZREN JAMALUDIN
Izlaily Nurul Ain Hussein


KELAB bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) memecah rekodnya sendiri dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai juara Liga Super buat kali keenam berturut-turut sejak 2014.

Pengiktirafan itu, sekali gus memecah rekod tahun lalu yang turut dicatat dalam MBOR selepas muncul juara Liga Super buat kali kelima.

Sijil MBOR disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif MBOR, Christopher Wong kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Datuk Ismail Karim di Dataran Bandaraya Johor Bahru, hari ini.

Hadir menyaksikan penyerahan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Setiausaha Agung PBNJ, Mohd Anizam Jamian.

Terdahulu, JDT mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali keenam selepas menduduki tangga pertama dengan kedudukan 46 mata meninggalkan pencabar terdekatnya, Pahang dengan 36 mata.

JDT akan menjulang Piala Liga Super musim ini selepas perlawanan menentang Terengganu yang juga perlawanan terakhir skuad Harimau Selatan di laman sendiri pada musim ini.

Trofi Liga Super itu akan diarak dari Stadium Tan Sri Dato Sri Haji Hassan Yunos, Larkin ke sekitar bandar raya Johor Bahru sebelum ke Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 8:05 PM