BAGASI berkenaan. FOTO Ihsan Bomba
Garret Dawum


AKTIVITI menangkap ikan seorang lelaki terbantut selepas dia menemui bagasi mengandungi mayat dalam kejadian di Jambatan Kampung Pengkalan Baik, Bau, hari ini.

Susulan penemuan itu, lelaki terbabit terus melaporkan kejadian kepada polis.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian, jam 6 petang.

“Selepas beg ditarik oleh pihak bomba daripada sungai itu, ia mengeluarkan bau busuk dan terdapat darah keluar daripadanya.

“Apabila dibuka, satu mayat lelaki lengkap berpakaian dengan mata ditutup pita pelekat dijumpai,” katanya ketika dihubungi.

Poge berkata, identiti mayat itu masih belum dikenal pasti setakat ini dan kes masih dalam siasatan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Ebby Hirwandy Sarbini berkata, seramai 14 anggota ke lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2019 @ 11:39 PM