Laporan mengenai Firman dakwa hadiah berlian GV4 palsu.
Mohd Hafizee Mohd Arop


“ITU memang berlian cuma bukan berlian asli seperti yang Aishah (Wan Aishah Wan Ariffin) pilih, berlian ada pelbagai gred jangan ingat bila bukan berlian asli terus katakan ia palsu.

“Pergilan periksa dan uji, boleh dapat sijil dengan bayar RM450,” kata usahawan kosmetik Datuk Seri Vida (DSV).

DSV ketika diminta mengulas kenyataan penyanyi Indonesia Firman Siagian yang mendakwa barang kemas bernilai RM30,000 sebagai hadiah selaku pemenang tempat kelima program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) yang berlangsung pada Disember 2017 palsu berkata, Firman seharusnya tidak terikut-ikut dengan apa yang berlaku kepada Aishah sebelum ini.

“Saya berharap Firman tidak terpengaruh dengan benda-benda macam ini dan percaya itu memang berlian.

“Kalau dia tetap tidak percaya, macam saya katakan tadi boleh pergi periksa sendiri di makmal untuk mendapat keputusan lebih terperinci,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ketika ditanya dakwaan Firman yang sudah menghubunginya melalui WhatsApp tetapi tidak dibalas, DSV berkata, dia menerima ratusan mesej sehari dan menyangka mesej itu dihantar peminatnya dari Indonesia.

Kelmarin, Harian Metro melaporkan, Firman mendakwa mulai meragui ketulenan barangan kemas dimenanginya selepas menonton berita mengenai tuntutan dibuat juara program itu, Aishah tahun lalu.

Menurut Firman yang popular menerusi lagu Kehilangan, hatinya kuat mengatakan subang berlian itu adalah palsu selepas mendapat tahu Aishah berjaya mendapat ganti rugi daripada tuntutan dibuat.

Berita berkaitan

Firman dakwa hadiah berlian GV4 palsu

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 12:24 AM