Kapten JDT Hariss Harun membawa trofi Liga Super sambil diiringi barisan kejurulatihan pasukan di Dataran Bandaraya Johor Bahru, malam tadi. Foto Ihsan FB Johor Southern Tigers
Izlaily Nurul Ain Hussein


PENYOKONG setia kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berkumpul di Dataran Bandaraya Johor Bahru malam ini bagi sama-sama meraikan kejayaan skuad Harimau Selatan itu menjulang trofi Liga Super buat kali keenam berturut-turut.

Kejayaan 'double hatrick' itu turut dikongsi semua pemain JDT bersama kira-kira 5,000 penyokong dengan membawa trofi Liga Super itu berarak di sekitar bandar raya itu seperti tahun sebelumnya.

Selepas selesai perlawanan terakhir liga yang menyaksikan JDT menentang Terengganu FC di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos di Larkin, trofi yang dijulang di stadium itu kemudiannya dibawa bersama pemain, pegawai serta barisan kejurulatihan JDT dengan bas khas menuju ke Dataran Bandaraya Johor Bahru.

Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku pemilik kelab JDT.

JDT sudah mengesahkan diri sebagai Juara Liga Super Malaysia 2019 lebih awal ketika berbaki empat lagi perlawanan selepas menundukkan Melaka United pada 27 Jun lalu.

Pasukan itu turut mencatatkan rekod Liga Super tanpa kalah paling lama di laman sendiri iaitu sebanyak 75 perlawanan dan kemenangan berterusan paling banyak iaitu 28 perlawanan di Stadium Larkin.

Pelbagai persembahan disajikan sepanjang sambutan malam tadi termasuk persembahan artis terkenal antarabangsa, Bow Wow dan tempatan seperti Joe Flizzow, Amy Search dan K-Clique.

Sambutan turut dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api, pancaran lampu dan laser sebagai gimik kejutan istimewa berkonsepkan elektronik.

Kemeriahan sambutan itu bukan sahaja bermula pada malam tadi, sebaliknya pelbagai aktiviti disediakan sejak 3 petang antaranya, larian J6 Neon Fun Run, cabutan bertuah dan 'football freestyler'.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 1:28 AM