ANGGOTA imigresen memeriksa PATI dalam operasi malam semalam. FOTO Ihsan Imigresen.
Zuliaty Zulkiffli


SEMBILAN pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja di kedai makan sekitar Pokok Sena, Alor Setar ditahan dalam Ops Kutip & Selera, malam semalam.

Operasi bersepadu bermula 6 petang itu turut memeriksa 28 pekerja asing.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Kedah Zuhair Jamaludin berkata, semua yang ditahan berusia 31 hingga 50 tahun.

“Tujuh orang Thailand dan masing-masing seorang warganegara Indonesia dan Bangladesh.

“Mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)c Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) iaitu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah, selain Seksyen 15(1)(c) atas kesalahan tinggal lebih masa dan Perkara 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

“Dalam operasi itu, dua rakyat tempatan turut dikenakan saman,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Menurutnya, semua tahanan ditempatkan di lokap Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Depot Imigresen Sik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 9:17 AM