RAMLI sedang menyiapkan perabot yang ditempah pelanggannya. FOTO Noorazura Abdul Rahman.
Noorazura Abdul Rahman


HANYA mata kirinya sahaja dapat melihat, namun Ramli Jamalludin tidak patah semangat.

Sebaliknya lelaki berusia 41 tahun itu komited memajukan perniagaan perabotnya yang dihasilkan sendiri mengikut keperluan pelanggan.

Katanya, mata kanannya buta sejak kecil dan mata kiri pula rabun tetapi masih boleh melihat jelas dengan bantuan cermin mata.

“Ia bukan halangan untuk saya mencari rezeki dan sebelum ini saya bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Shah Alam.

“Selepas itu, mencuba membuka bengkel membuat perabot sendiri dengan modal RM4,000 yang dikumpul selama beberapa tahun.

“Keinginan berniaga timbul selepas saya bekerja di kedai perabot di Langkawi pada 2007,” katanya ketika ditemui di bengkel perabotnya di Alor Melintang, Jalan Dato Kumbar, Alor Setar.

Bapa tiga anak itu memberitahu bengkelnya dibuka tiga tahun lalu dan melalui cabaran di awal pengoperasiannya.

“Ketika tujuh tahun bekerja di kedai perabot dahulu, gaji saya antara RM20 ke RM30 sehari dan pendapatan itu saya kumpul sehingga jadi modal untuk bengkel ini yang saya gunakan beli peralatan dan mesin membuat perabot.

“Namun pada awalnya sukar untuk dapat pelanggan sehinggalah seorang kenalan menaruh kepercayaan untuk saya lengkapkan banglonya di Taman Nuri dengan perabot yang saya buat sendiri.

“Dari situ rezeki mula bertambah dan saya mendapat beberapa projek termasuk buat tiang masjid dan lain-lain. Alhamdulillah,” katanya.

Menurutnya dia kini mampu menggaji empat pekerja dan menerima tempahan daripada pejabat kerajaan dan swasta.

Ramli turut berkongsi ilmu dengan golongan orang kurang upaya (OKU) dan asnaf menerusi program motivasi anjuran pihak tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 10:58 AM