AL-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melihat perarakan sempena sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia, hari ini. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
Mohd Azam Shah Yaacob


YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli menghadiri sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019 di Dataran Merdeka, hari ini.

Baginda berangkat tiba pada 9.05 pagi, diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut menghadiri majlis sambutan itu adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin dan Timbalannya Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohamad Hamdan Wahid.

Sambutan Hari Anggota Bomba 2019 bertemakan ‘Bomba Tonggak Penyelamatan Negara’ dimulakan dengan perbarisan membabitkan 1,551 pegawai serta anggota JBPM daripada 35 kontinjen.

Acara disusuli perarakan 79 Unit Jentera termasuk helikopter Agusta Westland serta persembahan unit dalam JBPM selain pameran.

Antaranya, Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT), Pasukan Penyelamatan Bangunan Tinggi, Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) dan Bahagian Udara Bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 11:01 AM