Hafidzul Hilmi Mohd Noor


DUA lagi individu ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung video hubungan songsang mengaitkan Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan seorang lelaki.

Penahanan pertama membabitkan individu berusia 31 tahun di hotel di Glenmarie, Shah Alam, pada 11.45 malam, manakala lelaki 29 tahun ditahan pada 12.30 tengah malam di depan rumah di Taman Sri Andalas, Klang.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya akan memohon lanjutan reman terhadap beberapa individu yang remannya tamat pada hari ini dan esok.


ABDUL Hamid memeriksa perbarisan pada majlis Penutupan Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan Kali Ke-21, hari ini. FOTO Zunnur Al Shafiq.

“Jika perlu permohonan itu (lanjutan reman) akan dilakukan, jika pihak kita (polis) memerlukan lebih masa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan di Kem Bina Semangat, Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Semalam, lima individu yang ditahan bersabit kes itu dibebaskan selepas perintah reman berakhir.

Perintah reman selama enam hari ke atas Haziq, yang juga bekas Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong pula akan tamat tempoh, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 11:14 AM