ABDUL Hamid harap pihaknya tidak diganggu. FOTO Zunnur Al Shafiq.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


KETUA Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador menempelak segelintir ahli politik yang memberi tekanan kepada beliau dan pasukannya dalam siasatan kes video songsang mengaitkan Haziq Abdullah Abdul Aziz dan seorang lelaki.

Katanya, desakan itu datang daripada ahli politik bukan kerajaan.

“Daripada mula saya tekankan isu video ini, kes yang banyak membuang masa. Saya yang sepatutnya diperlukan sebagai Ketua Polis Negara untuk pastikan anak buah saya tumpu kepada pembasmian jenayah, (tapi) tiba-tiba timbul isu yang pada saya tidak sepatutnya (timbul).

“Sensitiviti isu ini begitu tinggi sekali terutama ahli politik yang bukan daripada kerajaan. Pelbagai desakan dikenakan ke atas saya dan orang nak tahu tulen atau tidak video itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan di Kem Bina Semangat, Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Abdul Hamid menyifatkan tekanan itu masih meningkat dan berharap mereka yang mahu berpolitik supaya melakukan demikian hanya dalam kalangan mereka sahaja.

“Kalau ingin berpolitik biarlah dalam kalangan mereka, jangan sampai membabitkan orang ramai rasa terbeban. Polis terpaksa berbelanja lebih untuk terbang ke sana sini.

“Jangan buat pakatan jahat, ia tidak sepatutnya dibuat oleh orang politik yang matang. Sudah setahun lebih pilihan raya umum (berlalu), masih lagi dengan perkara begini,” katanya.

Beliau juga meminta semua pihak bertenang dan menyerahkan kepada pihaknya untuk melakukan siasatan dengan lebih efisien.

“Siasatan belum selesai ada beberapa langkah yang belum diambil, duit begitu banyak dikeluarkan, orang perlu tahu kenapa ambil masa lama, orang awam tidak faham.

“Kita nak siasat siapa yang bertanggungjawab dan tidak mahu tersilap dalam tindakan. Nasihat saya pada ahli politik, jangan bawa perkara ini ke depan, ia akan menyusahkan orang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangani rasuah membabitkan pegawai dan anggota polis.

Katanya, tindakan secara berperingkat turut dikenakan ke atas mereka yang salah guna kuasa menerusi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

“Kita juga menerima surat layang berkaitan salah laku dan isu rasuah, JIPS diketuai oleh Datuk Zamri Yahya sendiri banyak turun padang bagi menyedarkan serta memberi amaran terhadap mereka yang terbabit.

“Saya sedih tapi saya harus terima hakikat bahawa masih ada segelintir (polis) yang masih berdegil,” katanya

Kelmarin, empat anggota trafik Ibu pejabat Polis (IPD) Hulu Selangor ditahan JIPS Bukit Aman selepas dipercayai menerima rasuah, manakala SPRM menahan enam anggota polis pada Rabu lalu dipercayai terbabit rasuah bagi melepaskan pendatang asing tanpa izin yang sepatutnya dihantar ke depoh tahanan imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 12:10 PM