GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib


GURU di sebuah sekolah di Kuantan hidup dalam ketakutan selepas diganggu ceti haram atau along.

Malah gambar wanita berusia 39 tahun itu ditampal di tiang stesen bas dan pondok telefon di luar kawasan sekolah tempat mangsa mengajar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa membuat pinjaman berjumlah RM10,000 pada Disember 2017 daripada syarikat pinjaman wang tidak berlesen di Kuantan.

“Mangsa menandatangani dokumen perjanjian yang kosong dan menerima wang berjumlah RM8,600 saja selepas ditolak yuran guaman.

“Mangsa perlu membuat bayaran pinjaman RM1,200 sebulan selama 38 bulan, manakala kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dipegang suspek,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, mangsa sudah membuat bayaran bermula pada Januari 2018 sehingga Mac lalu berjumlah RM18,000.

“Namun bermula April lalu, mangsa tidak lagi membuat bayaran bulanan dan menyekat kad ATM dipegang suspek serta membuat kad bank baru.

“Sejak itu, suspek mula mengganggu mangsa di tempat kerja dan menerusi panggilan telefon. “Namun semalam, mangsa mendapati gambarnya ditampal di luar kawasan sekolahnya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang bimbang keselamatannya kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 kerana menjalankan aktiviti perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 12:12 PM