Yusri Abdul Malek


“SEBELUM datang ke Makkah, ramai kata makanan tidak sedap tetapi bila datang sini, saya dan isteri cukup berselera dengan makanan disediakan. Malah makanan yang kami bawa dari Malaysia pun tidak terusik lagi walaupun sudah hampir tiga minggu berada di sini ," kata Mohd Zairi Sharingat, 40, ketika ditanya mengenai kualiti dan rasa makanan yang disediakan kepada jemaah haji.

Beliau berkata, menu juga berbeza setiap hari, jadi tidak rasa bosan dihidangkan makanan sama setiap hari.

Baginya dan isteri, makanan disediakan sama ada tengah hari atau malam adalah mengikut selera Malaysia .

"Hari-hari menu berbeza dan makanan pula sedap," katanya ketika ditemui di Maktab 80 Hotel Durrat Al Sulaimaniyyah di Makkah.

Sementara itu, tujuh katerer dilantik Tabung Haji (TH) untuk menyediakan makanan tengah hari dan malam kepada 30,200 jemaah haji Malaysia.

Pengurus Operasi Katering TH Mohd Norber Kassim berkata, bagi menjaga kualiti makanan, pihaknya menempatkan 14 tukang masak berpengalaman luas dalam penyajian makanan di semua tujuh katerer yang dilantik TH.

"Kita juga ada Ketua Tukang Masak dan Penyelia Kualiti Sajian yang akan melawat semua premis atau dapur katerer untuk memastikan proses sajian adalah betul terutama dari segi rempah penyediaan.

"Buat masa ini kami menyediakan rempah ratus 'pre mix ' atau pracampuran yang sudah disediakan awal di Malaysia.

"Penggunaan rempah pracampuran ini dapat memendekkan masa untuk memasak dan mengikut selera atau citarasa Malaysia.

"Terdapat 14 menu pracampuran yang disediakan dan menu bertukar setiap hari," katanya ketika melakukan lawatan ke Dapur Al Wafa Catering.

Bagi pemilik Dapur Al Wafa, Ahmad Abdullah, pihak sudah menyediakan makanan kepada jemaah haji Malaysia sejak 13 tahun lalu.

Katanya, pihaknya ada empat tukang masak termasuk dari Malaysia untuk menyajikan makanan tengah hari dan malam.

"Apa yang paling penting ialah kebersihan bagi memastikan jemaah mendapat sajian yang berkualiti," katanya.

Tukang masaknya, Kamarulzaman Md Rodi berkata, dia dan pasukannya mula memasak untuk jemaah haji mulai jam 6.30 pagi untuk makan tengah hari kerana hidangan perlu sampai ke maktab pada jam 11 pagi.

"Untuk makan malam, kami mula masak jam 1 tengah hari. Semua menu dan bahan masakan adalah mengikut garis panduan yang sudah ditetapkan TH,” katanya.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 12:34 PM
PEMBUNGKUSAN makanan untuk jemaah dibuat dalam bilik tertutup dan bersih. FOTO Yusri Abdul Malek