SUSPEK direman empat hari atas tuduhan mencabul jirannya. FOTO Rizanizam Abdul Hamid
Rizanizam Abdul Hamid


PENGERUSI Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di daerah Melaka Tengah direman empat hari bermula hari ini atas tuduhan mencabul suri rumah warga Indonesia, Isnin lalu.

Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 51 tahun itu dikeluarkan Majistret Teoh Shu Yee di Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh hari ini

Siasatan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek petang semalam ketika diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri untuk memberi keterangan.

“Kejadian didakwa berlaku pada jam 1.30 tengah hari ketika mangsa berusia 46 tahun berada di dalam bilik air di rumahnya.

“Mangsa ketika itu dalam keadaan tidak berpakaian kerana baru selesai mandi sebelum terlihat suspek iaitu jiran dikenali berdiri di luar pintu bilik air.

“Suspek kemudian menolak mangsa hingga ke dinding sambil memegang bahu kiri dan kanan wanita itu tetapi melarikan diri selepas mangsa menjerit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda atau kedua-duanya dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 1:01 PM