SUSPEK didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. FOTO Ihsan Polis.
Norasikin Daineh


TINDAKAN lelaki menunjukkan kemaluannya di hadapan tiga remaja perempuan bawa padah apabila ditahan polis di Bandar Sri Perdana, Lahad Datu, semalam.

Dia yang berusia 21 tahun ditahan pada 4.20 petang susulan tiga laporan diterima polis daripada remaja berkenaan berusia 15 dan 16 tahun.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, suspek dipercayai melakukan perbuatan itu di hadapan semua remaja terbabit secara berasingan di Kampung Muhibbah pada Selasa dan Khamis lalu.

“Suspek melakukan dua kali perbuatan itu di hadapan dua remaja antara 1.05 tengah hari hingga 1.10 tengah hari Selasa di Kampung Muhibbah.

“Dia dikatakan menunggang motosikal dan menghampiri mereka untuk bertanyakan sesuatu sebelum bertindak memegang dan menunjukkan kemaluannya kepada mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, pada 1.43 tengah hari Khamis, suspek sekali lagi melakukan perbuatan itu ketika mengekori seorang remaja perempuan yang pulang dari sekolah.

“Suspek memberhentikan motosikalnya dan berjalan ke arah mangsa sebelum mengeluarkan kemaluannya. Mangsa ketakutan segera melarikan diri di kedai runcit berhampiran,” katanya.

Menurutnya, kejadian diceritakan mangsa kepada ibu masing-masing dan laporan polis dibuat selepas itu.

Katanya, suspek berjaya ditahan dan didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(a) Akta Seksual Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 1:42 PM