GAMBAR hiasan.
Hidayatul Akmal Ahmad


PEMUDA berdepan detik cemas apabila diacu pisau dan batang besi oleh lelaki Afghanistan di asrama pusat pengajian tinggi di Gombak, semalam.

Kejadian berlaku pada 2.30 petang ketika mangsa yang berusia 21 tahun dan dua rakan sekerja, mengiringi lelaki berkenaan yang juga bekas penuntut keluar dari asrama itu.

Lelaki berkenaan diberhentikan daripada pengajian selepas didapati positif ganja.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, suspek bengang apabila diminta keluar menyebabkan dia mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan.

“Suspek diminta keluar dari bilik berkenaan kerana sudah diberhentikan pengajian bermula semalam atas kesalahan dadah.

“Bagaimanapun dia enggan dan tiba-tiba bertindak ganas dengan mengacukan pisau dan batang besi ke arah mangsa.

“Sambil itu, suspek didakwa berkata ‘I will kill you. I’m from Afghanistan. If you come back, i will kill u’,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Samsor berkata, laporan polis dibuat mangsa dan suspek berjaya ditangkap untuk disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Katanya, dia kini direman empat hari sehingga Selasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 1:57 PM
Skip this ad x