Rizanizam Abdul Hamid


POLIS memburu seorang pekerja Bangladesh atas dakwaan mencabul kehormatan seorang wanita ketika sedang menjalani Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) di sebuah klinik swasta di Merlimau, Jasin, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai sudah melarikan diri dari asramanya.

Menurutnya, Khamis lalu, polis menerima laporan daripada mangsa berusia 22 tahun berasal dari Sarawak yang bekerja sebagai juru X-ray di sebuah poliklinik di Taman Muhibah, Merlimau mengenai kejadian itu.

“Ketika menjalani pemeriksaan X-ray, suspek didakwa menyiku payudara pengadu tetapi tidak diendahkan kerana menyangka ia tidak disengajakan.

“Bagaimanapun selepas selesai pemeriksaan, lelaki itu mengulangi perbuatan menyebabkan pengadu marah dan mengarahkan dia keluar dari bilik berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, suspek enggan mengikut arahan sebalik menunjuk isyarat senyap dengan jari malah didakwa merapatkan badannya dengan pengadu sebelum insiden itu didengari doktor bertugas.

“Doktor kemudian mengarahkan semua pekerja asing yang akan menjalani pemeriksaan keluar dari klinik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripadanya jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 2:43 PM