FOTO hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SERAMAI 15,816 jemaah Malaysia sudah berlepas ke Makkah untuk menunaikan fardu haji, setakat hari ini.

Timbalan Pengarah Operasi Stesen Berlepas Sepang, Zurita Ahmad Raffie berkata, 483 jemaah dibawa dari Kompleks Tabung Haji (TH), Sepang, jam 2 petang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas proses dokumentasi dan bagasi selesai.

Jemaah ke Tanah Suci hari ini menaiki penerbangan KT32 dan kuota bagi jemaah haji Malaysia pada tahun ini seramai 30,200 orang.

Menurutnya, operasi di Kompleks TH tahun ini lebih lancar selepas beberapa penambahbaikan dijalankan pihaknya bagi memudahkan bakal haji menjalani urusan pendaftaran.

“Tahun ini TH memperkenalkan laluan khas jemaah masuk ke dewan pelepasan, namun dalam masa sama memudahkan ahli keluarga yang datang untuk menghantar mereka.

“Penambahbaikan ini dilaksanakan untuk memberi keselesaan kepada jemaah yang kebanyakan sudah berusia,” katanya ketika ditemui di Kompleks TH, Sepang, hari ini.

Zurita berkata, operasi TH lancar kerana komitmen diberikan kakitangan termasuk agensi kerajaan lain dan sukarelawan yang membantu sepanjang proses pendaftaran dan pelepasan.

Beliau berkata, bakal haji untuk penerbangan akan datang dinasihatkan datang empat jam lebih awal dari waktu penerbangan bagi memudahkan urusan dokumentasi dan bagasi.

“Jemaah Malaysia akan dihubungi kakitangan pusat panggilan TH bagi mengingatkan tarikh berlepas ke Tanah Suci supaya mereka tidak lupa,” katanya.

Lagi berita berkaitan Wasilah Haramain

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 4:48 PM