PASUKAN STORM membawa mayat mangsa yang terjatuh untuk dibawa ke hospital. FOTO IHSAN JBPM
Mohd Azam Shah Yaacob


SEORANG pendaki wanita maut selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Batu Condong, Kemensah, Ampang, pagi tadi.

Mangsa, Syarfalili Shaharir, 31, parah selepas terjatuh di atas kawasan berbatu di tebing curam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 9.12 pagi.

Katanya, susulan itu sepasukan lapan anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian.

Sejurus tiba jam 9.29 pagi, bomba terus melancarkan misi menyelamat mangsa.

“Berdasarkan maklumat diterima, mangsa bersama tiga rakannya memulakan pendakian di Bukit Batu Condong sekitar jam 7.30 pagi tadi.

“Namun, ketika hendak turun sekitar jam 9 pagi, mangsa tergelincir dan terjatuh di kawasan berbatu hingga menyebabkan kecederaan dan kritikal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang turut berada di lokasi kejadian.

Katanya, mangsa berjaya dibawa turun ke kaki bukit kira-kira jam 3.20 petang menggunakan pengusung dengan bantuan 18 anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) melalui trek dianggarkan sejauh empat kilometer.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Ampang (HA) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 6:23 PM
Skip this ad x