Foto hiasan
Mary Victoria Dass


MURID tahun dua melalui detik pahit apabila dicabul pemandu van tuisyennya sendiri dalam kejadian di Johor Bahru, sejak dua bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, perbuatan terkutuk suspek berusia 64 tahun itu hanya terbongkar selepas adik mangsa menceritakan kejadian itu kepada ibu mereka pada awal bulan ini.

Menurutnya, mengikut laporan yang diterima dikatakan warga emas terbabit mengambil kesempatan melakukan perbuatan itu hanya ketika mangsa bersama adiknya berada di dalam van itu.

Katanya, hasil laporan yang dibuat keluarga mangsa kemudiannya polis bertindak menahan suspek dari Bandar Baru Permas Jaya dekat Masai itu untuk siasatan lanjut.

“Seunit telefon bimbit serta kad sim milik lelaki berkenaan turut dirampas untuk membantu siasatan kerana mangsa ada memaklumkan bahawa suspek ada merakam gambar seluar dalamnya,” katanya.

Menurut Shahurinain, berdasarkan maklumat mangsa dan adiknya akan menaiki van sekolah yang dipandu suspek untuk ke pusat tuisyen pada setiap hari kecuali Sabtu.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Julai 2019 @ 7:00 PM