REAKSI anggota bomba pada Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019 di Dataran Merdeka, semalam. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Mohd Azam Shah Yaacob

SEBANYAK 14 balai bomba dan penyelamat kategori E akan dibina di kawasan terpencil di seluruh negara pada tahun hadapan bagi memudahkan khidmat bantuan dilakukan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamruddin berkata, antaranya di kawasan rumah panjang, perkampungan air selain di pulau dan pedalaman di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Katanya, rancangan pembinaan 14 balai bomba baharu kategori E sudah dimasukkan dalam peruntukan Belanjawan 2019.

“Buat masa ini, kira-kira 14,000 pegawai serta anggota bomba yang berkhidmat di 308 balai bomba dan penyelamat di negara ini.

“Jumlah itu akan ditambah di mana berdasarkan perancangan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhasrat membina 14 lagi balai bomba dan penyelamat kategori E di kawasan kampung air, rumah panjang, pulau serta pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019 di Dataran Merdeka, semalam.


AKSI anggota bomba wanita melakukan teknik abseiling dan winching dari pesawat ketika gimik pelancaran memukau penonton. FOTO Zulfadhli Zulkifli

Beliau berkata, ada keperluan membina lebih banyak balai bomba dan penyelamat di kawasan yang sudah dikenal pasti sebagai langkah menghadapi sebarang bencana.

Terdahulu, ketika berucap dalam sambutan berkenaan, Zuraida berkata, keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan mencemar duli adalah satu pengiktirafan kepada lebih 14,000 anggota bomba yang mempertaruhkan nyawa setiap hari demi menyelamatkan nyawa dan harta benda rakyat.

“Sebenarnya sambutan Hari Bomba Sedunia pada 4 Mei lalu, tapi kita adakan hari ini (semalam),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 6:15 AM