HARIMAU yang ditangkap di Kampung Besul Lama, Bukit Besi. FOTO Imran Makhzan
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

“DIA (harimau belang) mungkin mengalami kecelaruan identiti atau masalah psikologi. Mungkin dia (harimau) terlupa bahawa dia adalah harimau,” ujar Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berhubung tindakan pelik seekor harimau jantan yang menjilat dua penduduk di Kampung Besol Lama, Bukit Besi, Terengganu.

Dalam kejadian Khamis lalu, harimau dewasa seberat 130 kilogram itu ditemui berkeliaran di kampung itu sebelum menjilat Mohamad Harun, 61, yang sedang membaiki rumahnya bersama seorang anak berusia 22 tahun.

Harimau sama kemudian menjilat seorang lagi penduduk, Abdul Fatah Wan A Rahman, 68, selepas mangsa terjatuh ketika melihat harimau itu pada jam 3 petang hari sama.

Katanya, kelakuan aneh karnivor itu luar dari kebiasaan berikutan harimau tergolong sebagai haiwan liar.

“Harimau adalah haiwan karnivor dan pemangsa agresif. Apa yang berlaku terhadap dua penduduk yang dijilat tanpa dicederakan itu adalah luar biasa.

“Ada kemungkinan harimau itu menghadapi masalah mental atau psikologi. Perkara ini tidak mustahil kerana hidupan liar juga mampu berdepan masalah emosi sama seperti manusia,” katanya.


ABDUL Kadir. FOTO Hafiz Sohaimi

Menurutnya, dia sudah mendapat laporan awal perubatan daripada pasukan pegawai veterinar dan kakitangan Perhilitan yang berada di lokasi.

“Harimau yang ditangkap petang semalam (kelmarin) akan menjalani rawatan dan pemeriksaan lanjut.

“Mamalia itu berjaya dikesan dan ditangkap anggota Perhilitan sekitar jarak 300 meter dari kawasan hutan kampung itu,” katanya.

Berdasarkan pemeriksaan awal sejurus ditangkap, harimau itu didapati dalam keadaan sihat tanpa kecederaan.

Ditanya kemungkinan harimau itu dibela individu tertentu menyebabkan ia kelihatan jinak, Kadir memaklumkan perkara itu turut disiasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 7:30 AM