ANGGOTA bomba mengadakan perbincangan sebelum pencarian di lokasi mangsa dikhuatiri lemas. FOTO ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI dikhuatiri lemas selepas terjatuh ketika memancing ikan di belakang hotel di Pantai Tengah, Langkawi, semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa dikenali sebagai Ambalangan berusia 30-an dilaporkan terjatuh pada 5 petang ketika laut bergelora dan ombak kuat.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan, 7.54 malam tadi dan sepasukan anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi bersama lima anggota dan sebuah jentera tiba di lokasi, 8.02 malam.

“Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan di sekitar pesisir pantai dan jarak lokasi dengan Fire Post Pantai Cenang adalah sekitar lima kilometer.

“Sehingga hari ini operasi mencari mangsa masih dilakukan sehingga mangsa ditemui,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi turut dibantu 10 anggota polis di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 9:14 AM