LOW (tiga kiri) menyampaikan bantuan kepada penerima program. FOTO Saliawati Salberi
Nur Saliawati Salberi


“PERKHIDMATAN yang kami sediakan kepada rakyat adalah percuma dan tiada bayaran perlu dibuat oleh mereka apabila berurusan dengan Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) mahupun Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Saya tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil kepada pelaku sekiranya tertangkap.”

Itu amaran tegas diberikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong selepas mendakwa pihaknya menerima maklumat terdapat individu meminta bayaran atau mengenakan caj kepada masyarakat untuk melakukan sesuatu perkhidmatan.

Menurut beliau, apabila dilantik MPKK, JAPERUN dan Exco perlu jujur dalam berkhidmat kepada rakyat bukannya mengharap balasan kerana mereka dibayar gaji.

“Saya mendapat khabar angin kejadian ini berlaku beberapa bulan yang lalu dan amaran serta ingatan ini dibuat secara terbuka kepada semua pihak yang terbabit.

“Walaupun dalam jumlah kecil ianya tidak patut. Contohnya individu ini tawarkan perkhidmatan dan (dia) minta wang daripada orang awam,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri berkata demikian pada sidang media selepas Program Penyerahan Lampin Pakai Buang Dewasa DunKota Laksamana, di Balai Raya Kampung Morten, Melaka, semalam.

Chee Leong berkata, sekiranya betul berlaku seperti yang didakwa, perbuatan itu adalah salah.

“Saya tidak akan benarkan, itu adalah salah di sisi undang- undang kerana semua perkhidmatan kerajaan dilarang meminta sebarang balasan atau bayaran.

“Sebagai yang dilantik kita perlu ikhlas dan jujur barulah itu berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Terdahulu pada program itu, 37 individu menerima lampin pakai buang dewasa.

Beliau berkata, setiap DUN kerajaan negeri memperuntukkan 80 penerima yang akan dipilih oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Untuk fasa pertama bagi Jun dan Julai kita baru memperoleh 37 penerima dan dijangka baki 43 akan diperoleh tidak lama lagi serta diagihkan pada fasa kedua nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 10:25 AM