BAS Go KL di sekitar Kuala Lumpur. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Mohd Hilmie Hussin


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal menambah bilangan bas tambang percuma, Go KL dalam merealisasikan hasrat menjadikan bandar raya Kuala Lumpur bebas kenderaan.

Datuk Bandarnya, Datuk Norhisham A Dahlan berkata, rancangan menambah bas tambang percuma itu sebahagian daripada langkah penambahbaikan program ‘Car Free Zone’ yang kini dilaksanakan pada hujung minggu pertama dan ketiga setiap bulan.

“Mengikut statistik yang kami peroleh, daripada satu laluan Go KL, contohnya dari Setiawangsa melalui UTM, HKL, IJN, Kampung Baru, kita dapat mengurangkan kemasukan kira-kira 500 kenderaan sehari.

“Jadi, kami akan banyakkan (bas percuma) lagi dalam usaha menggalakkan orang ramai menaiki pengangkutan awam sekali gus, mencapai sasaran mengurangkan 70 peratus jumlah karbon menjelang 2030,” katanya dalam sidang media sempena Program Car Free Morning dan penanaman pokok Melaka di Jalan Melaka, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir pada program terbabit, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Mansor Sudin, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka DAtuk Tey Kok Kiew dan Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lin.

Beliau berkata, pada program terbabit juga, DBKL menerima 16 pokok Melaka sempena ulang tahun MBMB sebagai Bandaraya Bersejarah ke-16, selain sebagai tanda kerjasama menerusi program bandar raya berkembar antara dua pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit yang mencecah 30 tahun.

Sempena program terbabit, Norhisham dan Mansor, masing-masing menanam satu pokok Melaka di Jalan Melaka dan baki 14 lagi pokok itu akan ditanam di Taman Botani Perdana, Taman Metropolitan Batu, Taman Rimba Kerinchi dan Nurseri DBKL.

Sementara itu, Mansor berkata, banyak pengalaman DBKL boleh digunakan MBMB dalam mengindahkan bandar raya Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 11:23 AM