LAPORAN Harian Metro mengenai isu vape.
Khairul Najib Asarulah Khan


PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengesyorkan pihak berkuasa tempatan (PBT) meletakkan syarat kepada premis vape supaya menampal poster kesan pengambilan rokok elektronik atau vape di premis mereka.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, ramai pengguna peranti itu tidak mengetahui implikasi menghisap vape.

Menurutnya, jika setiap bungkusan rokok ada meletakkan label dan gambar kesan menghisap bahan terbabit, rokok elektronik atau vape juga seharusnya diarah melakukan perkara sama.

“Apabila PBT menetapkan syarat kepada semua premis vape supaya menampal poster berkaitan kandungan dan kesan menghisap peranti itu di setiap pintu masuk premis mampu menyedarkan penggemarnya.

“Cara ini juga mampu membuka mata masyarakat supaya lebih peka serta mengetahui tentang bahaya dan risiko menghisap peranti terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan, ramai pelajar sekolah mula terjebak menghisap vape, termasuk kanak-kanak seawal usia 10 tahun.

Guru di beberapa sekolah yang menjalankan pemeriksaan pada beg pelajar juga menemui peranti vape yang dibawa mereka.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga perlu mempergiatkan advokasi dalam mendidik masyarakat.

“Di kawasan umum seperti di perhentian bas, pasar raya, restoran dan sebagainya perlu ditampal poster kesan menghisap vape daripada aspek kesihatan khususnya.

“Ini adalah salah satu tindakan dalam mencegah penularan menghisap peranti itu terutama dikalangan pelajar disamping memberi maklumat kepada ibu bapa dan masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 11:48 AM